DALAM hiruk-pikuk sebuah kota yang tidak pernah jeda, masih wujud lagi beberapa tempat tersembunyi yang menyeru kita untuk berhenti seketika dan menikmati detik-detik yang berlalu. Tatkala dikelilingi kehijauan sekitar Seri Negara, iaitu salah sebuah mercu tanda paling bermakna, Serai Group memperkenalkan dua konsep hidangan baharu terletak molek yang mempunyai latar yang sarat sejarah – Serai House dan Semuka Cafe.
Bangunan Seri Negara, dibina pada tahun 1898 sebagai kediaman rasmi Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, telah menjadi saksi bisu di celahan lembaran sejarah negara. Kini, dengan kehadiran Serai House dan Semuka Cafe, rumah agam gemilang tersebut sedang melangkah ke era baharu yang menjemput para pengunjungnya bukan sahaja untuk mengagumi seni bina dan taman-tamannya yang agung, bahkan untuk bersama-sama berkumpul di meja makan dan saling merasai pengalaman santapan warisan tanah air.
Seharian berada di Seri Negara seolah-olah terasa tidak lengkap tanpa menjamu selera di Serai House. Tatkala anda melangkah masuk ke ruang yang suatu ketika dahulu merupakan Pejabat Kerani dan Pejabat Gabenor pada zaman pemerintahan British, serta merta anda akan merasai suasana yang penuh anggun dan mesra. Cahaya matahari menyusup masuk ke dalam ruang dalaman, pada masa yang sama pohon-pohon azali menjadi latar bagi pemandangan luar jendela, sekali gus menciptakan sebuah pengalaman santapan yang melangkaui zaman, namun tetap berakar pada bumi pertiwi.
Sewaktu pelancaran Seri Negara pada awal bulan April tahun ini, Pengarah Pengurusan Serai Group, Datuk Mohd NAjib Abdul Hamid berkata: “Seri Negara merupakan tempat yang amat istimewa dalam lembaran sejarah negara. Dan suasananya begitu sempurna bagi meraikan hidangan Malaysia dengan sudut pandang yang baharu,” jelas beliau. “Dengan kehadiran Serai House dan Semuka Cafe, matlamat kami adalah untuk mencipta suatu pengalaman yang seakan-akan mirip bagaimana rasanya untuk pulang ke kampung halaman dan setiap hidangan menceritakan kisah tentang warisan, serta setiap kunjungan mengeratkan hubungan kita – sebagaimana tempat ini pernah menjadi saksi kepada segala perkara itu.”
Menu hidangannya juga mencerminkan titik temu antara warisan dan olahan semula. Dengan kepimpinan Cef Afiq dari negeri Perak, kebanyakan masakan yang ditawarkan membawa pengaruh halus dari tradisi kulinari yang kaya negeri tersebut dan dibangkitkan lagi melalui sentuhan kontemporari penuh teliti.