Ketika ditemui media selepas majlis, Dato’ Hamdan daripada Think City berkata bahawa satu pelan hala tuju lima tahun telah dirangka bagi memperkukuh KL Festival sebagai platform utama untuk mengetengahkan Kuala Lumpur serta menghidupkan kota menerusi pengisian kebudayaan dan kreatif.
“Selain acara utama yang berlangsung setiap bulan Mei, kami juga berhasrat untuk menganjurkan pelbagai aktiviti sepanjang tahun. Dengan cara ini, apabila orang ramai berkunjung ke Kuala Lumpur, mereka akan berasa hampir dengan kota ini. Mereka dapat merasai suasananya yang meriah dan melihat Kuala Lumpur sebagai tempat yang ingin dikunjungi. Sudah pasti ada sesuatu untuk dinikmati oleh semua orang,” katanya.
Dato’ Hamdan turut menjelaskan bahawa sebanyak 1,400 peluang pekerjaan dan kerja sambilan yang diwujudkan menerusi penganjuran festival terdahulu baru sekadar garis mula. Pihaknya menyasarkan peningkatan jumlah peluang tersebut sebanyak dua kali ganda setiap tahun, di samping membuka lebih banyak laluan kerjaya dalam sektor kreatif, sejajar dengan kedudukan Kuala Lumpur sebagai Bandar Kreatif Reka Bentuk UNESCO.
YB Hannah Yeoh turut menyentuh kepentingan menggabungkan tradisi lama dengan idea kontemporari, sekali gus memberi peluang kepada generasi muda untuk menafsir semula amalan kebudayaan serta meneroka pendekatan baharu untuk turut terlibat dengan ibu kota.
Menurut beliau, melalui pelaksanaan atur cara yang diperluas melangkaui bulan utama festival, termasuk di taman, ruang awam dan kawasan kejiranan, matlamat jangka panjangnya adalah untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah destinasi yang terus hidup dan meriah sepanjang tahun.
Seperti yang ditegaskan oleh Yeoh, pihak berkuasa bandar dan sektor swasta perlu bergerak seiring dalam menjayakan visi yang sama. Ketika agensi kerajaan terus menambah baik prasarana bandar, yang disifatkannya sebagai “perkakasan” (hardware), organisasi seperti Think City bersama rakan kerjasamanya pula berperanan menyediakan pengisian dan pengalaman kebudayaan, atau “perisian” (software) yang menghidupkan ruang-ruang tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan memberikan sokongan penuh kepada KL Festival dan pihak penganjur tidak perlu memikul tanggungjawab merealisasikan wawasan tersebut secara bersendirian.