Seterusnya, Ekam hadir dengan suatu tujuan yang jelas. Dalam bahasa Sanskrit, Ekam membawa maksud “Kesatuan.” Ensemble ini menghimpunkan pemain sitar, bansuri (seruling buluh India), violin, tabla dan mridangam yang menyaksikan setiap alat muzik tersebut membawa tradisi tersendiri, namun bertemu pengucapan muzik yang dikongsi bersama.
Dipimpin oleh Kumar Karthigesu, seorang anak jati Kuala Lumpur yang merangkap sebagai pemain sitar, penggubah lagu dan pendidik muzik, Ekam mempersembahkan dua karya asli yang dimainkan buat julung kalinya di pesta ini.
Kalavathi hadir bak cahaya menyingsing umpama hari baharu bermula atau bayu senja meniup sepoi-sepoi. Selain itu,
Walking on Clouds memperagakan alunan yang lebih kepada perenungan yang menjemput para pendengar untuk berhenti sejenak dan tidak mempedulikan hiruk-pikuk dunia.
Walaupun kolaborasi silang budaya bukan sesuatu yang baharu untuk muzik klasik India, Kumar bersikap jujur dalam mendepani cabaran kerjasama ini. Seringkali kerjasama sebegini tidak bertahan lama. Detik-detik bermakna ini jarang berlanjutan. Melalui Ekam, beliau berharap untuk tidak terjerumus dalam kitaran yang sama.
“Setelah selesai acara, semua orang kembali buat hal masing-masing,” jelas Kumar. “Kami cuba untuk elak perkara tersebut. Kami mahu meneruskan kerjasama ini dan tidak berpecah. Kami tidak mahu kembali memasuki tempurung kelapa masing-masing.”
Persembahan ini, di samping platform kolaborasi lain pada tahun ini seperti Rainforest World Music Festival, menjadi penanda aras bagi sebuah iltizam yang semakin berkembang demi pertukaran artistik yang lebih mendalam. Bagi Ekam, setiap kolaborasi membuka peluang untuk mendengar, menyerap dan berevolusi.
“Setiap kali kami menyertai peluang sebegini, ada banyak yang boleh kami belajar daripada budaya lain. Integrasi itulah merupakan kunci utama yang menjadikan kita sebagai rakyat Malaysia yang bersatu padu,pada masa yang sama hal tersebut membentuk cita-cita kita.”
Dalam gala Irama Pusaka, kehadiran Ekam mencerminkan perenungan dan pandangan alam yang meluas, serta menjadi peringatan bahawa perpaduan dalam kepelbagaian tidaklah tertakluk kepada suatu gagasan semata. Sebaliknya, hal itu merupakan kerja yang berterusan yang dibentuk melalui pengalaman, keterbukaan dan kemahuan untuk melanjutkan penglibatan bersama.
Jangan lepaskan peluang keemasan ini dan dapatkan tiket anda hari ini. Saksikan kepelbagaian tradisi bergabung di sebuah pentas yang sama dan mempersembahkan paduan irama dan alunan baharu.